Keadilan untuk Sameera – Pastikan siasatan yang teliti dan mereka di sebalik pembunuhan Sameera dibawa ke muka pengadilan

c5bfqnnvmaavyrw

Kami seperti yang tertera di bawah amat sedih berikutan pembunuhan kejam Sameera Krishnan, seorang wanita transgender atau mak nyah muda pada 23 Februari 2017 sekitar jam 3.30 pagi di Kuantan, Malaysia. Sameera bukan sahaja diserang dengan pisau dan ditetak pada bahagian tangan, kaki, kepala, serta kaki, dia juga ditembak sebanyak tiga kali. Sameera bekerja sebagai seorang penjual bunga di Kuantan dan dikenali oleh keluarga serta rakan-rakannya sebagai seorang yang lemah lembut dan rendah hati. Pengebumian Sameera telah disempurnakan pada Jumaat, 24 Februari, yang juga merupakan tarikh lahirnya.

Kami mengalu-alukan siasatan pembunuhan tersebut oleh pihak polis yang dilakukan secara segera, dan berharap pihak polis akan menerbit hasil siasatan ini kepada orang awam. Kami berharap keadilan dapat dilaksanakan untuk Sameera. Pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan ini telah dikenalpasti berhubung dengan sebuah kes yang masih berterusan melibatkan Sameera di mana pada Februari 2015, Sameera telah diculik dan dirogol oleh beberapa orang samseng. Sameera telah ditetapkan untuk muncul di mahkamah pada bulan hadapan sebagai saksi utama kes ini.

Sementara kita menunggu siasatan dan motif pembunuhan tersebut dikenalpasti pihak polis, adalah penting untuk mengakui bahawa wanita trans menghadapi jenayah kebencian dan keganasan yang melampau dan luar biasa berdasarkan identiti gender mereka. Antara sebab berlakunya keganasan sebegini termasuklah kekurangan perlindungan undang-undang, penganiayaan, persepsi negatif masyarakat terhadap individu trans, diskriminasi, dan sebagainya.

Antara 2007 dan 2016, sekurang-kurangnya 10 kes pembunuhan telah dilaporkan oleh pihak media. Dalam 10 kes-kes ini, wanita-wanita trans telah menghadapi keganasan yang melampau termasuklah dipukul dengan tukul sehingga mati, dicekik, ditikam berkali-kali, diserang secara fizikal, ditolak keluar bangunan, dilemaskan dalam kolam takungan air dan sebagainya. Walau bagaimanapun, kebanyakan kes jenayah kebencian dan keganasan terhadap golongan trans tidak dilaporkan dan tidak didokumentasikan.

Laporan media dan misgendering

Misgendering, iaitu penggunaan nama atau kata ganti nama atau rujukan lain yang tidak mencerminkan identiti gender seseorang, terhadap Sameera telah menerima kritikan meluas masyarakat dan aktivis trans termasuklah kumpulan seperti Persatuan Tamil Thirunangai Malaysia. Pihak media telah menunjukkan ketidakpekaan dan sikap tidak hormat terhadap Sameera dan individu trans lain, tidak memedulikan langsung trauma dan kehilangan yang dihadapi oleh ahli-ahli keluarga serta individu-individu tersayang Sameera.

Beberapa laporan media tentang pembunuhan Sameera terutamanya sekali artikel-artikel berbahasa Melayu merujuk kepada Sameera dengan terma-terma negatif yang mengaibkan dan tidak menyenangkan seperti ‘pondan’, ‘lelaki berperwatakan perempuan’, ‘lelaki transeksual’ dalam tajuk dan kandungan artikelnya.

Walaupun beberapa media seperti Harian Metro telah menukar perkataan ‘pondan” (terma yang mempunyai konotasi negatif terhadap wanita trans dan lelaki gay cisgender, terutamanya yang disifatkan sebagai ‘lembut’) dalam tajuk artikel mereka kepada “Mak Nyah” (terma yang sesuai untuk merujuk kepada wanita trans), terma tersebut tidak digunakan secara konsisten, menyeluruh dan memuaskan. Sebagai contoh, artikel Harian Metro tersebut yang bertajuk ‘Mak Nyah maut ditembak, ditetak’ masih mengandungi konsep salah ‘lelaki berperwatakan perempuan’ dalam kandungan artikelnya. Wanita trans bukan ‘lelaki yang berperwatakan perempuan’. Hal ini menunjukkan kurang pemahaman tentang identiti gender dan kepelbagaian gender. Tambahan pula, Mutiara FM, sebuah stesen radio tempatan, dalam rancangan paginya merujuk kepada Sameera sebagai seorang lelaki trans sambil menggelakkan identiti gendernya.

Misgendering yang konsisten dan sengaja merupakan satu bentuk keganasan kerana hal ini mejatuhkan martabat serta maruah diri individu transgender. Selain itu, misgendering juga mempunyai kesan jangka panjang yang mendalam terhadap keyakinan diri individu-individu transgender. Kami menggesa orang ramai untuk menggunakan istilah yang tepat dan tidak mempunyai konotasi negatif seperti mak nyah, trans woman, perempuan atau wanita transgender, dan transgender women. (Sila lihat analisa media dan panduan media terbitan Justice for Sisters)

Keganasan yang dialami oleh individu-individu trans tidak berlaku secara tiba-tiba dan merupakan simptom atau kesan daripada peminggiran dan halangan-halangan yang dihadapi mereka. Adalah penting untuk kita menghapuskan semua bentuk stigma dan diskriminasi yang dihadapi oleh individu-individu trans yang terus meletakkan mereka dalam situasi-situasi yang berisiko tinggi.

Semua orang, tanpa mengira identiti jantina perlu dilindungi daripada keganasan. Kami menggesa pihak berkuasa dan media untuk melayan individu trans dengan hormat dan bermaruah. Kami juga menggesa pihak polis segera membawa para penjenayah di sebalik pembunuhan Sameera ke muka pengadilan.

Disokong oleh: (menurut abjad)

  1. All Women’s Action Society (AWAM)
  2. Association of Women Lawyers Malaysia (AWL)
  3. Community Development Centre (CDC)
  4. HAKAM, National Human Rights Society
  5. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
  6. Justice for Sisters (JFS)
  7. Teoh Beng Hock Trust for Democracy
  8. Tirunangai Uthavi Karagal
  9. The G-Blog
  10. Transmen of Malaysia (TOM)
  11. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  12. PELANGI — Campaign for Equality and Human Rights Initiative
  13. Perak Women for Women Society (PWW)
  14. Persatuan Tamil Thirunangai Malaysia
  15. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  16. Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia
  17. Pertubuhan Kebajikan Sinar Pelangi (PKSP)
  18. PT Foundation
  19. Seksualiti Merdeka
  20. SEED Malaysia
  21. Sisters in Islam (SIS)
  22. Suaram Malaysia
  23. Voice of Community (VOC)
  24. Women’s Aid Organisation (WAO)
  25. Women’s Centre for Change (WCC)
Terminologi

Jantina atau seks yang diberikan ketika lahir –   Identiti yang diberikan mengikut alat kelamin, selalunya perempuan, lelaki, dll. Walau bagaimanapun, jantina atau seks merujuk kepada kombinasi kromosom, organ seksual dan reproduktif luaran dan dalaman, ciri-ciri seks sekunder serta komposisi hormon.

Identiti gender – Identifikasi peribadi (contohnya: perempuan, lelaki, gender fluid atau queer, dsb) berdasarkan cara kita melihat dan mengenali diri sendiri. Selalunya, identiti gender diberikan ketika lahir adalah tekaan berdasarkan alat kelamin luaran. Akan tetapi, identiti gender dan seks adalah dua perkara berbeza, dan tidak perlu sepadan, konsisten atau selari.

Cisgender – identiti gender dan jantina/seks yang diberikan ketika lahir ‘sepadan’

Transgender – identiti gender dan jantina/seks yang diberikan ketika lahir ‘tidak sepadan’

Trans -singkatan bagi transgender

Trans woman, mak nyah, wanita atau perempuan transgender – identiti gender individu transgender itu perempuan, atau mengenali dirinya sebagai seorang perempuan

Trans man, lelaki transgender – identiti gender individu transgender itu lelaki, atau mengenali dirinya sebagai seorang lelaki

Gender queer – seorang yang tidak mengenal pasti dirinya dengan mana-mana gender, semua gender, kombinasi gender, dan sebagainya

Untuk maklumat lanjut sila lihat gender bear

infopart1infopart2

Leave a comment