Artikel: hentikan kecaman terhadap individu LGBTIQ

(Artikel ini berdasarkan kenyataan yang diterbitkan oleh justice for Sisters pada 19 Julai 2018)

Trend kecaman dan ucapan berunsur kebencian, keganasan dan prejudis terhadap individu-individu lesbian, gay, biseksual, transgender, interseks dan queer (LGBTIQ) serta mereka yang dianggap sebagai penyokong individu LGBTIQ di media sosial semakin kritikal.

Dalam beberapa minggu ini semakin banyak ucapan berunsur kebencian, keganasan dan prejudis, termasuklah kempen boikot, ancaman bunuh dan ugutan fizikal terhadap individu LGBTIQ dikongsi serta ditularkan di media sosial. Terdapat juga tindakan orang ramai yang melaporkan individu LGBTIQ atau mereka yang dikaitkan dengan individu LGBTIQ kepada pihak penguatkuasa, ancaman yang diajukan kepada mereka, penggunaan naratif agama untuk mengecam individu LGBTIQ.

Ucapan-ucapan dan mesej berunsur kebencian sedemikian memberi kesan negatif yang mendalam terhadap emosi, kesejahteraan, keselamatan dan psikologi individu LGBTIQ, tetapi juga mereka-mereka lain yang terdedah kepada mesej berunsur kebencian dan keganasan sebegini.

Kecaman dan ucapan sedemikian secara langsung meningkatkan risiko keganasan, menimbulkan rasa tidak selamat dan mengiyakan diskriminasi terhadap individu-individu LGBTIQ. Peningkatan risiko terhadap keselamatan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuklah keganasan yang wujud daripada kebencian terhadap orientasi seksual dan identiti gender, cemuhan atau kejian secara lisan, dan percubaan untuk “membetulkan”  individu LGBTIQ.

Individu-individu LGBTIQ sememangnya satu kelompok yang dipinggirkan dan mengalami pelbagai bentuk diskriminasi, termasuklah dari segi pekerjaaan, pendidikan, perumahan, dan sebagainya. Hasutan kebencian dan ugutan keganasan terhadap individu LGBTIQ di media sosial hanya akan menggalakkan diskriminasi dan memburukkan lagi keadaan bagi individu LGBTIQ di Malaysia.

Kos prejudis dan diskriminasi dalam masyarakat

Retorik untuk “memulihkan” atau “membawa golongan LGBTIQ ke pangkal jalan” dari pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan juga menambah kepada kemudaratan dan diskriminasi terhadap individu LGBTIQ. Pendekatan “memulihkan” orientasi seksual dan identiti gender ditolak oleh badan-badan perubatan antarabangsa. Malah, beberapa negara, termasuklah Malta dan Kanada telah mengharamkan pendekatan “pemulihan dan pembetulan”” sama ada dari segi perubatan mahupun spiritual boleh membawa kemudaratan besar yang berpanjangan. Kemudaratan ini termasuk kemurungan, pengasingan diri, rasa hendak membunuh diri, percubaan membunuh diri dan dalam kes yang lebih berat, bunuh diri boleh berlaku.

Pendekatan “pemulihan dan pembetulan” ini juga telah dikategorikan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu bentuk penyeksaan kerana pendekatan ini dianggap zalim dengan kesan yang buruk dan langsung tidak efektif.

Semua bentuk diskriminasi ini mempunyai kos yang bukan sahaja ditanggung oleh individu LGBTIQ, tetapi juga oleh kerajaan dan negara. Antara kesan diskriminasi terhadap individu LGBTIQ boleh dilihat melalui kadar kemiskinan yang dihadapi oleh komuniti LGBTIQ; risiko dan beban kesihatan yang tinggi; “brain drain” berpunca dari migrasi individu LGBTIQ ke negara lain oleh sebab diskriminasi dan kekurangan peluang.

Pencerahan dalam Malaysia Baharu

Pencerahan yang sebetulnya tentang Islam, gender dan seksualiti amat kritikal supaya kita tidak menjadi satu kelompok masyarakat yang jumud. Islam mahupun agama-agama lain mengunjurkan keadilan dan pembebasan manusia daripada penindasan, kezaliman dan kejahilan. Oleh itu, perlunya ruang untuk berdialog secara sivil dan tenang dengan tujuan untuk mendengar dan memahami, bukan untuk menghukum atau berceramah.

Kekurangan naratif positif berkenaan ‘LGBTIQ’ oleh individu LGBTIQ sendiri, kekurangan pemahaman berkenaan individu LGBTIQ berdasarkan pengalaman hidup LGBTIQ dan fakta-fakta, antaranya menjurus kepada sikap prejudis dan diskriminasi terhadap individu LGBTIQ. Individu LGBTIQ adalah seperti manusia lain yang mempunyai perasaan, kebolehan, aspirasi dan sebagainya. Individu LGBTIQ juga mempunyai ibu bapa, keluarga dan sahabat handai yang menyayangi, menghormati dan menyokong mereka. Kewujudan individu LGBTIQ adalah sebahagian daripada kepelbagaian alam.

Kecaman dan ugutan terhadap individu LGBTIQ akhir-akhir ini juga terbit dari ‘momokan moral’ pihak segelintir. Ianya adalah sisa-sisa  dan taktik-taktik daripada pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini yang acap memutarkan dan mempolitikkan  isu-isu berkenaan LGBTIQ bagi kelangsungan politik benci dan kepentingan mereka.

Harus diingatkan, individu LGBTIQ tidak mencabul hak mana-mana pihak. Setiap manusia mempunyai hak untuk hidup bermartabat dan bebas dari ancaman. Kerajaan seharusnya memikul tanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat dan kelompok masyarakat dilindungi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia Baharu perlu meninggalkan politik dan retorik ekstremisme haluan kanan bagi membentuk satu masyarakat yang lebih inklusif. Kerajaan hari ini perlu sedar bahawa sifat anti-LGBT, homofobik dan transfobik tidak ada bezanya dengan kebencian dan prejudis berdasarkan agama, kumpulan etnik, gender dan sebagainya. Sifat benci dan prejudis melulu tidak lagi ada ruang di Malaysia. Politik kebencian hanya akan membawa kepincangan dan keburukan pada masyarakat.

Advertisements

Anjakan pemikiran & sikap kerterbukaan perlu untuk menghentikan kecaman terhadap individu LGBTIQ

Justice for Sisters sangat bimbang dan mengkritik dengan tegas kecaman dan ucapan berunsur kebencian, keganasan dan prejudis terhadap individu-individu lesbian, gay, biseksual, transgender, interseks dan queer (LGBTIQ) serta mereka yang dianggap sebagai penyokong individu LGBTIQ di media sosial sejak kebelakangan ini.

Dalam beberapa minggu ini semakin banyak ucapan berunsur kebencian, keganasan dan prejudis, termasuklah ancaman bunuh dan ugutan fizikal terhadap individu LGBTIQ dikongsi serta ditularkan di media sosial. Terdapat juga beberapa laporkan terhadap individu LGBTIQ atau mereka yang dikaitkan dengan individu LGBTIQ kepada pihak penguatkuasa, penggunaan naratif agama untuk mengecam individu LGBTIQ, dan sebagainya.

Ucapan-ucapan dan mesej sedemikian memberi kesan negatif yang mendalam terhadap emosi, kesejahteraan, keselamatan dan psikologi bukan sahaja individu LGBTIQ, malah orang lain yang terdedah kepada mesej berunsur kebencian dan keganasan sebegini.

Kecaman dan ucapan sedemikian secara langsung meningkatkan risiko keganasan, menimbulkan rasa tidak selamat dan mengiyakan diskriminasi terhadap individu-individu LGBTIQ. Peningkatan risiko terhadap keselamatan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuklah, keganasan yang wujud daripada kebencian terhadap golongan LGBTIQ; cemuhan atau kejian secara lisan; dan percubaan untuk “membetulkan”  individu LGBTIQ, antaranya.

Individu-individu LGBTIQ sememangnya satu kelompok yang dipinggirkan dan mengalami pelbagai bentuk diskriminasi, termasuklah dari segi pekerjaaan, pendidikan, perumahan, dan sebagainya. Hasutan kebencian dan ucapan berunsur keganasan terhadap individu LGBTIQ di media sosial hanya akan menggalakkan diskriminasi dan memburukkan lagi keadaan bagi individu LGBTIQ di Malaysia.

Pencerahan dalam Malaysia Baharu

Kami percaya bahawa Malaysia Baharu perlu meninggalkan politik dan retorik ekstremisme haluan kanan bagi membentuk satu masyarakat yang lebih inklusif. Kerajaan hari ini perlu sedar bahawa sifat anti-LGBT, homofobik dan transfobik tidak ada bezanya dengan kebencian dan prejudis berdasarkan agama, kumpulan etnik, gender dan sebagainya. Sifat benci dan prejudis melulu tidak lagi ada ruang di Malaysia. Politik kebencian hanya akan membawa kepincangan dan keburukan pada masyarakat.

Kekurangan naratif positif berkenaan ‘LGBTIQ’ oleh individu LGBTIQ sendiri, kekurangan pemahaman berkenaan individu LGBTIQ berdasarkan pengalaman hidup LGBTIQ dan fakta-fakta, antaranya menjurus kepada sikap prejudis dan diskriminasi terhadap individu LGBTIQ. Individu LGBTIQ adalah seperti manusia lain yang mempunyai perasaan, kebolehan, aspirasi dan sebagainya. Individu LGBTIQ juga mempunyai ibu bapa, keluarga dan sahabat handai yang menyayangi, menghormati dan menyokong mereka. Kewujudan individu LGBTIQ adalah sebahagian daripada kepelbagaian alam.

Kami meminta orang ramai untuk bersikap lebih terbuka serta berdialog secara baik dan tenang untuk mendengar dan memahami pengalaman hidup, realiti dan natijah diskriminasi terhadap individu LGBTIQ.

Kami menggesa Suruhunjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk memantau trend ini dan ucapan yang mengandungi unsur kebencian, keganasan dan prejudis di laman sosial media. Kami juga meminta SKMM serta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khususnya, untuk mengambil berat unsur prejudis dalam laporan yang diterima sebelum mengambilkan tindakan terhadap orang yang diadukan supaya tiada mangsa ketidakadilan.

Kami juga menggesa kerajaan untuk memandang serius isu diskriminasi dari segi gender, orientasi seksual, etnik, agama, latar belakang geografi, kewarganegaraan, dan sebagainya yang sangat ketara di Malaysia. Kami juga menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Pendidikan dan agensi lain yang berkenaan untuk memandang serius ucapan berunsur kebencian, keganasan dan prejudis, dan memperkenalkan kempen anti-diskriminasi di institusi pendidikan dan di tempat kerja dengan kerjasama sektor swasta.

Kami turut menasihat orang ramai untuk melakukan laporan kepada pihak PDRM atau Suruhanjaya yang berkenaan dengan segera sekiranya anda mendapati laporan telah dilakukan terhadap anda.

 

PERKAHWINAN KANAK-KANAK: BERHENTI BERDOLAK-DALIK, TANGGANI ISU TANPA ALASAN

Kami bimbang dan memandang serius  kenyataan Dato’ Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan pada 4 Julai 2018 mengenai  kekesalan beliau terhadap perkahwinan di bawah umur antara seorang lelaki berumur 41 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang telah tular baru-baru ini. Beliau juga mengatakan bahawa ‘ isu zina, anak luar nikah, gay dan lesbian adalah isu yang lebih besar berbanding isu perkahwinan kanak-kanak. Baginya, isu perkahwinan anak  adalah tidak salah dari segi agama dan tidak patut diperbesarkan menjadi isu negara, benda ini adalah isu terpencil, bukan semua lelaki kahwin dengan budak berusia 11 tahun’.

Kami khuatir kenyataan sedemikian menunjukkan sikap tidak serius kerajaan negeri Kelantan dalam menangani isu perkahwinan kanak-kanak bawah umur yang sememangnya ialah satu isu kritikal yang memerlukan tindakan segera dan serius oleh kerajaan pusat serta kerajaan negeri.

Menurut kenyataan oleh Majlis Peguam Negara, antara tahun 2005 dan 2015, sebanyak 10,240 penduduk beragama Islam telah membuat permohonan bagi perkahwinan kanak-kanak di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Manakala, antara  tahun 2000 dan 2014, 7,719 permohonan perkahwinan telah dibuat bagi kanak-kanak perempuan antara 16 dan 18 tahun bukan Islam.

Mengikut statistik global, jika tiada sebarang pengurangan dalam statistik bagi  perkahwinan kanak-kanak menjelang tahun 2050, sebanyak 1.2 billion kanak-kanak perempuan akan dikahwinkan.

Selain itu, Bernama telah melaporkan pada 4 Julai 2018 bahawa pernikahan antara lelaki berusia 41 tahun dengan kanak-kanak berusia 11 tahun itu tidak sah dan tidak mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Narathiwat.

Justeru itu, ini bukanlah suatu isu yang terpencil  yang boleh dipandang remeh seperti yang didakwa oleh Dato Mohd Amar. Perkahwinan kanak-kanak merupakan suatu perkara yang memerlukan pendekatan yang menyeluruh sekaligus punca-punca yang menggalakan isu ini berterusan harus dikaji dengan teliti. Hal ini termasuklah isu kemiskinan, kurang pemahaman gender dan kurang keutamaan terhadap perlindungan hak kanak-kanak. Kahwin bawah umur memberi impak dari sudut kesihatan dan psikologi yang boleh menyebabkan kanak-kanak bawah umur terdedah kepada risiko keganasan dan penderaan. Tambahan pula, kahwin bawah umur akan menjejaskan peluang bagi kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan formal sekaligus membebankan mereka dengan kerja-kerja dan tanggungjawab  rumahtangga yang mereka tidak mampu jalankan.

Turut membimbangkan, isu berkenaan zina dan LGBT digunakan untuk mengalihkan perhatian orang awam dari isu utama di sini, iaitu isu perkahwinan kanak-kanak. Cubaan kerajaan negeri untuk berdolak dalik dan menjadikan isu-isu zina dan LGBT sebagai kambing hitam kepada isu sebenar hanya akan menyumbang kepada stigma dan salah faham masyarakat terhadap isu yang sebenar.

Kerajaan negeri dan kerajaan pusat harus bertanggungjawab  dalam menegakkan dan melindungi hak kanak-kanak sekaligus meletakkan kepentingan dan keperluan kanak-kanak sebagai keutamaan. Ini adalah selaras dengan tanggungjawab Malaysia sebagai negara yang telah meratifikasikan  Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC)  JAG juga menyokong cadangan Majlis Peguam dalam penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang melaporkan terus ke Parlimen dengan kuasa untuk menangani isu perkahwinan kanak-kanak dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kanak-kanak.

Diterbitkan oleh Gabungan Organisasi Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG):

  1. Justice for Sisters
  2. Association of Women Lawyers (AWL)
  3. All Women’s Action Society (AWAM)
  4. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  5. Persatuan Sahabat Wanita (PSWS)
  6. SAWO (Sabah Women’s Action Resource Group)
  7. Sisters in Islam (SIS)
  8. Women’s Aid Organization (WAO)
  9. Women Center for Change (WCC)