HENTIKAN KECAMAN & PEMPOLITIKAN PELANTIKAN RANIA MEDINA SEBAGAI AHLI CCM

Justice for Sisters memandang serius kecaman dan pempolitikan perlantikan Rania Zara Medina sebagai ahli Country Coordinating Mechanism (CCM).

Perlantikan Rania adalah berdasarkan proses undian dan temuduga oleh komuniti wanita transgender yang berlangsung pada April 2019.

Malaysia sebagai penerima dana Global Fund bagi respons HIV telah menginstitusikan CCM sejak 2009, dibawah pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional lagi. Oleh demikian tidak timbul persoalan berkenaan konspirasi kerajaan Pakatan Harapan and komuniti LGBT sepertimana yang diwar-warkan oleh beberapa pihak.

CCM merupakan mekanisme yang melibatkan gabungan agensi kerajaan, organisasi masyarakat sivil atau civil society organizations (CSO), kumpulan agama, ahli akademik antara lain. Wakil CSO terdiri daripada wakil komuniti individu yang hidup dengan HIV, orang muda, wanita transgender, pengguna dadah, pekerja seks, men who have sex with men (MSM).

Setiap komuniti diwakili seorang calon daripada komuniti itu sendiri untuk memastikan isu-isu yang dialami oleh setiap komuniti berkenaan HIV diwakili sewajarnya serta dapat dibincangkan dengan lebih tepat dan menyeluruh. Harus juga disedari bahawa mekanisme CCM ini memberikan peluang kepada komuniti yang selalunya didiskriminasi, distigma dan mengalami perwakilan yang rendah untuk mewakili isu masing-masing.

CCM merupakan mekanisme dan model interdisciplinary yang baik untuk mengolah program dan intervensi HIV yang selaras dengan keperluan komunti masing-masing, memantau implementasi program HIV antara lain. Secara keseluruhannya mekanisme CCM membantu kerajaan untuk mencapai sasaran kerajaan dan global iaitu mencapai sifar HIV atau zero HIV menjelang 2030.

Justice for Sister memandang serius reaksi kumpulan-kumpulan konservatif, media dan parti politik yang mempolitikan dan mensensasikan isu perlantikan Rania. Khususnya, kami memandang serius penyebaran gambar Rania di zaman persekolahan bagi tujuan mengaibkan beliau. Pihak media dan orang ramai haruslah menghormati identiti dan martabat diri seseorang, termasuklah individu transgender.

Kami juga menyeru parti politik untuk bertindak rasional dan tidak beremosi dalam isu ini untuk mengurang salah faham, diskriminasi dan ketegangan atau konflik dalam masyarakat terhadap individu transgender. Selain itu, reaksi negatif ini khususnya membawa kemudaratan yang tinggi kepada privasi dan keselamatan diri Rania dan individu transgender lain. Parti politik dan juga pihak-pihak lain haruslah sensitif dan bertanggungjawab dalam menilai kesan reaksi mereka.

Kami mengambil kesempatan ini juga untuk menegaskan bahawa wanita transgender adalah juga sebahagian daripada kepelbagaian umat manusia. Pemahaman berkenaan individu transgender di Malaysia adalah sangat negatif dan tidak berasaskan fakta atau pengalaman hidup individu transgender. Hal ini meneruskan lagi stigma dan diskriminasi terhadap individu transgender. Kami menegaskan bahawa Artikel 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan memelihara martabat diri seseorang dan melindungi rakyat Malaysia daripada diskriminsasi berdasarkan gender dan status lain.

Leave a comment