Apa yang diperlukan oleh golongan transgender adalah lesen untuk dihormati sebagai manusia

Justice for Sisters sangat bimbang dan kecewa dengan kenyataan Dr Zulkifli Mohamad yang tidak bertanggungjawab dan melecehkan individu transgender dalam media semalam. Dalam kenyataannya, beliau memberikan lesen penuh kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menangkap dan memberi kaunseling atau mendidik individu transgender supaya ‘balik ke pangkal jalan’. Kami bimbang bahawa kenyataannya akan meningkatkan diskriminasi, keganasan dan penganiayaan terhadap wanita transgender tanpa apa-apa akibat terhadap pegawai penguatkuasa JAWI dan juga orang awam. Kami telahpun menerima banyak pertanyaan dan keresahan komuniti ini tentang keselamatan, keamanan dan kesejahteraan diri oleh individu transgender di seluruh negara sejak kenyataan tersebut diterbitkan.

Kebimbangan ini bukannya tidak berasas. Terdapat banyak bukti dan laporan yang direkodkan mengenai penganiayaan dan pelanggaran hak asasi manusia oleh Jabatan Agama Islam terhadap golongan transgender. Kajian mengenai Diskriminasi terhadap Golongan Transgender di Kuala Lumpur dan Selangor oleh Suhakam mendedahkan bahawa 39 daripada 69 orang wanita trans yang ditemubual (57%) telah mengalami penangkapan sewenang-wenang oleh sebab identiti gender mereka, sementara ramai lagi yang lain mempunyai pengalaman negatif dengan agensi penguatkuasaan undang-undang. Angka ini membimbangkan kerana mereka menunjukkan wanita trans disasarkan secara tidak seimbang dan ditangkap berdasarkan identiti gender mereka. Kajian tersebut juga mendokumentasi kesan daripada pengalaman negatif dengan agensi penguatkuasaan telah menyebabkan antara lainnya, kegelisahan, trauma, dan kemurungan. Empat individu telah menyatakan bahawa mereka mengalami fikiran untuk bunuh diri, dan seorang telah cuba untuk membunuh akibat pengalaman negatif mereka.

Sementara itu, Human Rights Watch melalui I am Scared to be a Woman mendokumentasikan pelbagai bentuk pencabulan dan keganasan yang dialami golongan wanita trans semasa penangkapan dan penahanan mereka serta kesannya terhadap pekerjaan dan hubungan interpersonal.

Dokumentasi pencabulan hak asasi manusia dalam laporan-laporan ini masih belum disiasat dan masih belum ada yang dipertanggungjawabkan. Kebenaran untuk menangkap individu transgender ini secara dasarnya memberikan lesen untuk mendiskriminasi, mempromosi kebencian, dan mencabul hak golongan wanita transgender di Malaysia sewenang-wenangnya. Ia merupakan lesen yang dinikmati oleh aktor negara yang bebas untuk menangkap dan menjalankan terapi ‘kembali ke pangkal jalan’ sewenang-wenangnya, tanpa apa-apa bentuk akauntabiliti, walaupun ianya mengakibatkan penyekatan terhadap ekspresi diri dan identiti, kebebasan untuk bergerak, dan akses kepada keadilan. Persekitaran ini lebih menyukarkan bagi golongan transgender untuk melaporkan pencabulan hak asasi manusia.

Kami juga merasa sangat terganggu dengan persepsi kerajaan terhadap golongan transgender tanpa rasa hormat dan bermaruah. Kami ingin menekankan di sini bahawa individu transgender adalah manusia yang punya autonomi dan anggota masyarakat yang setara hak mereka seperti yang ditegaskan oleh Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dan perjanjian-perjanjian lain PBB, serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Gagasan bahawa identiti gender dan golongan transgender dapat dipulihkan, diubah atau ‘dikembalikan ke jalan yang benar’ melalui kaunseling sesungguhnya adalah salah dan tidak saintifik. Ia mengakibatkan bahaya dan pencabulan hak asasi manusia yang keterlaluan terhadap golongan transgender, individu bukan binari dan ‘gender non-conforming’*. Sebenarnya, terapi pembetulan atau penukaran ini, termasuk penggunaan kaedah kerohanian dan agama telah ditolak oleh badan-badan perubatan dan hak asasi manusia global kerana kesannya yang berbahaya, termasuk kemurungan, idea dan cubaan bunuh diri, dan kecederaan diri, antara lainnya. Kami menegaskan bahawa amalan ini adalah bentuk penyeksaan memandangkan betapa besarnya bahaya yang dialami oleh individu dan orang yang mereka sayangi.

Walaupun kerajaan mungkin mendakwa bahawa mereka telah melihat banyak wanita transgender yang telah mengubah diri mereka dan telah ‘kembali ke pangkal jalan’, kita haruslah meneliti faktor dan keadaan yang menyumbang kepada perubahan ini. Kami menghormati hak setiap orang untuk menentukan identiti diri dan ekspresi diri. Namun, penting untuk dinilai bahawa perubahan ini dilakukan demi mengakses peluang, perkhidmatan, dan kadang-kala untuk ditolak ansur dalam masyarakat. Sering kali, penerimaan tanpa syarat sangat sukar untuk dibayangkan bagi individu transgender kerana diskriminasi, keganasan dan peminggiran yang mereka alami sepanjang hidup mereka. Kami percaya bahawa individu transgender tahu keperluan diri mereka dan tidak memerlukan intervensi oleh orang lain untuk membetulkan mereka. Kita patut mendengar keperluan golongan transgender daripada mereka sendiri.

Buku panduan Born Free and Equal oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggariskan 5 langkah yang dapat diambil oleh sebuah negara untuk memenuhi kewajiban kita berkaitan dengan hak asasi manusia LGBTIQ. Ia termasuklah, 1) melindungi individu LGBTI dari keganasan, 2) mencegah penyiksaan dan perlakuan buruk terhadap individu LGBTI, termasuk terapi penukaran, 3) memansuhkan undang-undang yang mengkriminalisasi individu LGBTI, 4) melarang diskriminasi berdasarkan orientasi seksual, identiti gender, ekspresi gender dan ciri-ciri seks 5) menjaga kebebasan bersuara, perhimpunan dan persatuan secara aman untuk individu LGBTI

Di samping itu, kerajaan Malaysia telah menerima banyak cadangan melalui proses PBB, antara lainnya, seperti semakan CEDAW dan UPR untuk memansuhkan undang-undang yang mendiskriminasi, memastikan pelindungan terhadap keganasan dan diskriminasi. Sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan cadangan tersebut bagi memastikan tiada siapa yang tertinggal dan semua orang di Malaysia dapat menikmati dan menggunakan hak asasi mereka.

Dr Zulkifli sewaktu menjadi Mufti di Wilayah Persekutuan telah mengambil banyak peluang melibatkan diri dengan golongan trans. Sepanjang penglibatan tersebut, golongan trans telah berkongsi pengalaman hidup mereka, cabaran yang mereka hadapi kerana anggapan berbahaya bahawa individu transgender dan identiti gender mereka dapat diubah. Cabaran ini menjadi lebih parah dengan ketiadaan pengiktirafan gender dan undang-undang dan fatwa yang menyekat mereka.

Berikutan hubungannya dengan individu-individu transgender, kami meminta Dr Zulkifli untuk mempertimbangkan semula kenyataannya dan kemudaratan berlanjutan yang akan timbul terhadap komuniti transgender. Kami mengesyorkan agar beliau menarik balik kenyataannya untuk mengelakkan bahaya terhadap individu transgender.

Justice for Sisters menggesa kerajaan memenuhi kewajibannya dalam melindungi, menghormati dan memenuhi hak semua orang, serta mengakhiri segala bentuk hukuman, diskriminasi dan keganasan terhadap golongan trans.

*gender non-conforming – individu yang gender ekspresinya di luar stereotaip gender lelaki perempuan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s