Siasat Keganasan Terhadap Peserta Perarakan Hari Wanita dan Hentikan Segala Bentuk Keganasan Berunsur anti-LGBT, identiti gender dan ekspresi gender

Justice for Sisters mengutuk sekeras-kerasnya serangan dan gangguan yang dilakukan oleh beberapa individu terhadap beberapa sukarelawan Women’s Aid Organization (WAO) selepas Women’s March Malaysia atau Perarakan Wanita Malaysia pada 10 Mac 2018 kerana dianggap sebagai penyokong LGBT. Kejadian tersebut berlaku di hadapan Balai Polis Dang Wangi.

Serangan ini merupakan satu lagi petanda bahawa trend perilaku intimidasi, diskriminasi serta keganasan terhadap atau atas andaian orientasi seksual, identiti gender, penglibatan dengan LGBT, liberalisme dan hak asasi manusia di Malaysia kian menular. Insiden-insiden juga jelas menunjukkan impunity (kekebalan) atau perlindungan yang dinikmati individu dan kumpulan anti-LGBT selain sikap tidak peduli terhadap kesan tindakan keganasan mereka.

Hal ini jelas dalam video terbitan kumpulan itu sendiri yang mereka terbitkan di media sosial. Jelas kelihatan kumpulan tersebut berasa tindakan intimidasi serta serangan secara lisan dan fizikal berdasarkan andaian tentang penglibatan orang awam dengan golongan LGBT, liberalisme dan idea lain adalah tindakan wajar dan akan mendapat perlindungan pihak berkuasa.

Penting untuk ditekankan, kejadian tempoh hari berlatarbelakangkan suasana di mana berlaku peningkatan aktiviti, ungkapan, tindakan mengkambinghitam, menakut-nakutkan serta retorik anti- LGBT yang disokong oleh kerajaan. Selain itu, hak asasi manusia, feminisme, dan semua yang dianggap sebagai ‘liberal dan pluralistik’ juga ditentang hebat. Kejadian baru-baru ini menunjukkan kumpulan pelaku menyahut pandangan kerajaan berkenaan liberalisme, pluralisme serta LGBT, dan bertindak menggunakan keganasan lantas mengancam keselamatan awam.

Hakikat bahawa kumpulan pelaku tersebut berani menyerang orang awam di hadapan sebuah balai polis sambil merakam serangan mereka dan kemudian menerbit video tersebut di media sosial satu petanda serius impunity, kebebasan dan keyakinan yang dirasai golongan ini dalam tindakan anti-LGBT, homofobia, transfobia, diskriminasi, intimidasi dan keganasan di Malaysia.

Sememangnya, terdapat peningkatan kumpulan anti-LGBT di Malaysia. Pada tahun 2012 dan 2013, sekumpulan samseng di Pahang, menyerang lebih 13 wanita transgender atau mak nyah dengan rantai besi, topi keledar dan batang besi dalam sebuah siri jenayah kebencian yang mengakibatkan kecederaan serius kepada wanita-wanita transgender berkenaan. Berdasarkan laporan media dan laporan Human Rights Watch “I am scared to be a woman,”seorang wanita telah ‘dipukul sehingga koma’ dan ada yang menerima 18 hingga 78 jahitan akibat serangan tersebut. Pada tahun 2018, Skuad Badar Sungai Petani muncul di platform media sosial, mengeluarkan ancaman untuk menangkap mak nyah dan mencukur kepala mereka. Kami juga mendapat maklumat bahawa kumpulan ini telah menggangu, menangkap dan menyerang wanita transgender di komuniti tersebut. Tambah lagi, wanita transgender yang ditangkap dicukurkan kepala mereka.

Kesemua ini adalah bentuk intimidasi dan ugutan serius yang mewujudkan rasa ketakutan dan kebimbangan terutamanya dalam kalangan golongan terpinggir.

Di samping itu, Justice for Sisters dan organisasi lain di Malaysia juga telah mendokumentasi sekurang-kurangnya 12 kes pecah masuk dan kemusnahan harta benda oleh pengganas dan pelaku yang tidak dikenalpasti di kawasan kediaman mangsa; serangan fizikal, penghinaan dan ugutan penyeksaan oleh kumpulan ‘vigilante’ yang seringkali menggunakan nama ‘Pengawal Keamanan’ atau kumpulan “Pengawal Rukun Tetangga” pada tahun 2017 dan 2018.

Pada tahun 2017 dan 2018 berlaku pelbagai gangguan terhadap sekutu LGBTIQ dan pembela hak asasi manusia yang menyokong golongan LGBT secara terbuka. Hal ini termasuklah aduan kepada agensi kerajaan atas tindakan like paparan pro-LGBT di laman media sosial, dituduh dan didakwa menghalang tugas pihak berkuasa semasa serbuan dijalankan; diejek dengan panggilan hinaan; ancaman fizikal dan seksual, dan lain-lain.

Kami menggesa orang ramai menolak keganasan terhadap peserta Women’s March Malaysia dan terus belajar dan mendidik antara satu sama lain mengenai gender, seksualiti dan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk Malaysia. Dalam mendukung semangat Perarakan Wanita di Malaysia tempoh hari, kita mesti terus memperkasa dan menerima golongan terpinggir dalam masyarakat sebagai lambang kepelbagaian dan perpaduan.

Kami menggesa pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) untuk menyiasat serangan ini dengan segera supaya keganasan seperti ini tidak dinormalisasikan di Malaysia. Ia adalah pencabulan hak asasi manusia yang serius, termasuk hak untuk hidup, hak kebebasan dan hak keamanan. Trend peningkatan keganasan ini mesti ditangani dengan rundingan dan kerjasama daripada kumpulan hak asasi manusia LGBT.

Kami juga menggesa UMNO untuk menyiasat perkara ini memandangkan hubungan kumpulan pelaku dengan parti politik tersebut. Menjelang pilihan raya akan datang, kami menggesa parti politik henti mempergunakan isu dan golongan LGBT untuk memenangi undi. Golongan LGBT juga adalah pengundi, dan kami menggesa parti-parti politik untuk menumpukan perhatian terhadap diskriminasi, keganasan, peminggiran yang dihadapi oleh rakyat, dan mencadangkan penyelesaian yang bermakna untuk menangani isu-isu mereka.

Kami menggesa agar kerajaan dengan segera menghentikan semua bentuk kegiatan anti-LGBT, termasuklah retorik dan ucapan, kerana kita sudah menyaksikan kesan negatif dan memudaratkan kepada bukan sahaja terhadap individu LGBT malah semua yang disyaki orientasi seksual, identiti gender, eskpresi gender, ciri-ciri seks dan penglibatan mereka dengan individu atau isu LGBTIQ.

Aktiviti anti-LGBT yang disokong atau dibiayai oleh kerajaan harus dihentikan serta merta atas implikasi negatif dan kemudaratan yang teruk. Hal ini juga melanggar hak perlembagaan kami untuk hidup bebas daripada keganasan dan bermaruah.

HARI WANITA SEDUNIA 2018 #WanitaBangkit#WomensMarchMY (4)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s